London: Chelsea melengkapkan pembelian Noni Madueke daripada PSV Eindhoven untuk meneruskan perbelanjaan yang luar biasa bagi menghadapi saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).
CHELSEA dijangka akan kembali mencabar dalam saingan EPL dengan pembelian pemain baharu. -FOTO AFP
Konsortium Todd Boehly kini sudahpun membelanjakan lebih £400 juta (RM2.12 bilion) untuk pemain baharu semasa musim pertama mereka mengendalikan kelab itu.
Pemain sayap Bawah 21 England, Madueke menandatangani kontrak selama tujuh setengah tahun di Stamford Bridge selepas menyelesaikan perjanjian bernilai £35 juta (RM185.76 juta) seperti yang dilaporkan.
“Saya sangat gembira mengikat perjanjian dengan salah satu kelab terbaik di dunia iaitu Chelsea,” kata Madueke, yang sebelum ini menjadi prospek pemain muda di Crystal Palace dan Tottenham.
“Saya kembali ke England dan bermain di Liga Perdana adalah impian saya dan keluarga. Saya tidak sabar untuk bermula.
“Saya teruja dengan apa yang ada pada masa depan, visi pemilik untuk masa depan dan berada di kelab seperti ini serta menang di peringkat tertinggi.”
Madueke menjaringkan 20 gol dalam 80 penampilan untuk PSV sejak menyertai gergasi Belanda itu pada 2018.
Tetapi pemain berusia 20 tahun itu bakal berdepan saingan sengit untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama tetap bersama The Blues.
Sementara itu pemain antarabangsa Ukraine, Mykhailo Mudryk boleh membuat penampilan sulung menentang Liverpool di Anfield malam ini selepas berpindah dari Shakhtar Donetsk dalam perjanjian yang boleh meningkat kepada €100 (RM465.31 juta).
Graham Potter juga memiliki banyak pilihan membabitkan Raheem Sterling, Christian Pulisic, Hakim Ziyech dan Joao Felix.
Source: hmetro.com.my