London: Jose Mourinho tidak sabar untuk kembali ke England musim depan selepas berdepan kekecewaan kekurangan sokongan kewangan di AS Roma.
MOURINHO dikatakan mahu kembali ke Liga Perdana Inggeris. FOTO EPA
Menjadi pengendali Chelsea buat kali ketiga pasti cukup ideal baginya, malah wakilnya memberitahu bahawa beliau berminat dengan sebarang kekosongan di Stamford Bridge.
Bagaimanapun kelab itu sudah menyatakan dengan jelas bahawa mereka akan kekal memberi sokongan penuh kepada pengendali ketika ini, Graham Potter.
Isteri dan anak-anak Mourinho masih tinggal di London dan beliau dilihat lebih gemar bekerja di Liga Perdana berbanding di tempat lain.
Pengendali dari Portugal itu memenangi Liga Persidangan Europa bersama Roma musim lalu dan mereka kini berada di tangga kelima Serie A.
Bagaimanapun kelab itu kekurangan sumber kewangan untuk memperkuatkan pasukan dalam usaha merebut kejuaraan.
West Ham dilihat mempunyai kekosongan jawatan pengurus selepas David Moyes bergelut membimbing kelab itu ketika ini.
Mourinho bagaimanapun dijangka tidak akan meninggalkan Roma pada pertengahan musim.