LONDON: Casemiro percaya Manchester United berada di “landasan bagus” dan berkata bermain bersama kelab gergasi Old Trafford itu membuatkan dia teruja seperti pemain berusia 15 tahun sekali lagi.
United gagal mendapatkan Frenkie de Jong dan Adrien Rabiot namun menggantikannya dengan pemain antarabangsa Brazil itu dari Real Madrid pada Ogos.
Ada sebahagian mempersoalkan keputusan United membayar £60 juta (RM315.35 juta) bagi pemain berusia 30 tahun itu – yuran yang boleh meningkat hingga £10 juta (RM52.56 juta) lagi malah keinginan pemain yang sudah meraih pelbagai kejayaan itu.
Bagaimanapun Casemiro cemerlang di Old Trafford dan memikul cabaran untuk menukar nasib kelab berkenaan.
Pemain tengah Manchester United, Casemiro (tengah) menjaringkan gol ketika menentang Reading di Old Trafford. – AFP
“Apabila anda tiba di kelab baharu, anda sentiasa mengimpikan untuk mencipta sejarah… terutama selepas anda melihat kehebatan kelab ini,” kata pemain itu selepas kemenangan 3-1 United mengatasi Reading pada Piala FA semalam.
“Kami tahu sejarahnya. Tapi sudah tentu, saya sedar perlukan masa untuk menyesuaikan diri dan pencabar kami sudah lama ada perancangan jangka panjang berbanding kami, seperti Arsenal, Manchester City dan Liverpool.
“Mereka semua ada pengurus yang sudah ada di sana beberapa ketika, justeru mereka ada kelebihan.”
Casemiro berkata dia gembira dengan kehidupan di Old Trafford.
“Saya sangat selesa di Manchester United, sangat gembira berada di sini dan meraikan setiap saat seperti pemain berusia 15 tahun,” katanya.
“Namun perkara paling penting ialah untuk melihat pasukan bertambah baik.”
Casemiro, yang meledak dua gol berdepan Reading, memberi amaran bahawa United masih bertarung untuk empat kedudukan teratas dan perlu terus meningkat. – AFP
Source: bharian.com.my