Jurgen Klopp keliru bagaimana Chelsea boleh berbelanja selepas The Blues membawa masuk lapan pemain dalam jendela perpindahan bulan lalu.
Chelsea menandatangani pemenang Piala Dunia, Enzo Fernandez, daripada Benfica dengan bayaran perpindahan termahal Britain sebanyak £106.8 juta (RM459.8j), Selasa lalu, untuk berbelanja melebihi £300j (RM1.5 bilion) dalam tempoh sebulan.
Malah, Chelsea turut mengikat Mykhaylo Mudryk, Benoit Badiashile, Andrey Santos, Noni Madueke, David Datro Fofana termasuk Malo Gusto yang akan menghabiskan baki musim ini dipinjamkan ke Lyon.
Joao Felix juga diikat secara pinjaman daripada Atletico Madrid ketika Chelsea menghuni tangga ke-10 Liga Perdana Inggeris (EPL), lantas pemilik bersama kelab itu, Todd Boehly, menawarkan pengurus tersebut lebih ramai pilihan pemain bagi melunaskan hajat menguasai kelompok empat teratas.
Sebaliknya, Liverpool kendalian Klopp — yang turut bergelut di tangga kesembilan dan dipisahkan dengan The Blues menerusi perbezaan gol — sekadar membawa masuk seorang pemain, iaitu Cody Gakpo daripada PSV dengan bayaran awal yang dilaporkan sekitar £37j (RM189.8j).
Klopp yang keliru bagaimana Chelsea boleh dibenarkan melabur tanpa terikat dengan Peraturan Kewangan Seimbang (FFP) memberitahu pemberita: “Saya tidak faham apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan. Ia melibatkan jumlah dana yang besar.
“Saya tidak faham bagaimana ia boleh berlaku tetapi jelas ia bukan terpulang kepada saya untuk menerangkan cara ia berfungsi.”
Ketika ditanya pandangan peribadinya mengenai urus niaga seteru mereka itu, pengurus Liverpool tersebut bergurau: “Saya tidak akan berkata apa-apa tanpa peguam saya.”
source: stadiumastro.com