LONDON – Pengurus Chelsea, Graham Potter secara sindiran menyifatkan pemain tengah West Ham United, Tomas Soucek sebagai ‘penjaga gol’ yang cemerlang ketika muncul wira pasukannya untuk ikat The Blues 1-1 di Stadium London, kelmarin.
Pada perlawanan itu, Potter mendakwa bola terkena tangan ketika Soucek melakukan halangan percubaan Conor Gallagher dan merasakan Chelsea wajar diberikan sepakan penalti, namun tidak dilayan oleh pengadil perlawanan, Craig Pawson.
Rentetan itu Potter seakan memberi gambaran bahawa kemenangan The Blues ‘dirompak’ kerana insiden berkenaan langsung tidak diendahkan oleh pegawai perlawanan bertugas.
“Jika penalti diberikan, keadaan pasti akan jadi sebaliknya, namun hakikatnya ia tidak diberikan. Ia terkena tangan dan seperti saya katakan, saya langsung tidak tahu yang Tomas mampu bertindak sedemikian dengan begitu pantas
“Ia adalah aksi ‘menyelamat’ yang cukup bagus dan ada kalanya kamu (West Ham) memerlukan penjaga gol ‘kedua’ untuk pastikan pasukan dapat mengutip mata,” katanya.
Pada aksi itu, Joao Felix terlebih dulu membuka jaringan buat Chelsea pada minit ke-16, namun kelekaan barisan pertahanan The Blues pada minit-28 mengundang padah apabila Emerson Palmieri meledak gol penyamaan.
Dalam masa sama, Potter enggan memberikan sebarang reaksi berhubung teknologi Video Bantuan Pengadil (VAR) kerana menganggap sistem berkenaan juga boleh membuat kesilapan kerana masih dikawal oleh manusia. – AGENSI
source: News