London: Graham Potter menegaskan bukan salahnya ketika Chelsea masih bergelut dan mencapai tahap terendah liga selepas mengalami kekalahan 1-0 menentang Southampton.
Skuad kendalian Potter itu tewas kepada pasukan tercorot Liga Perdana yang membawa pulang mata penuh dari Stamford Bridge hasil sepakan percuma daripada James Ward-Prowse pada lewat separuh masa pertama.
Southampton menang buat kali kedua dalam liga sejak Oktober, meneruskan rekod tanpa kemenangan Chelsea dalam empat perlawanan liga.
Chelsea bergelut untuk mencipta peluang diejek penyokong yang kecewa pada penghujung aksi yang mana mereka tidak menjaringkan gol pada 13 aksi terakhir.
Dengan tekanan yang semakin memuncak ke atas Potter yang dilantik menggantikan Thomas Tuchel yang dipecat pada September lalu, bekas bos Brighton tetap mempertahankan dirinya.
“Selepas kekalahan 1-0 di laman sendiri sebarang kritikan yang anda memang boleh difahami,” kata Potter.
“Kami melalui tempoh yang sukar, kami lakukan banyak perubahan, menyesuaikan pemain muda ke dalam EPL. Apabila keputusan tidak memihak kami, ia boleh menjadi sukar.
“Saya yakin ada orang di luar sana yang akan memikirkan sayalah masalah itu. Saya rasa mereka tidak betul.
“Saya bukanlah bongkak untuk mengatakan pandangan mereka tidak perlu dilayan. Tugas saya ialah membantu pasukan melalui tempoh yang sukar.”
Chelsea menghabiskan lebih daripada £300 juta (RM1.6 bilion) membeli pemain baharu pada Januari namun Potter masih belum dapat menukar pelaburan besar mereka kepada keputusan yang lebih baik.
Menyedari khabar angin dia boleh dipecat, Potter merumuskan masalah terbaharu Chelsea hadir beberapa hari selepas kalah 1-0 di tangan Borussia Dortmund pada kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara yang juga satu ancaman besar buat mereka.
source: hmetro.com.my