LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp enggan menyalahkan penjaga golnya, Alisson Becker selepas mereka terikat seri 2-2 pada pusingan ketiga saingan Piala FA di Anfield awal pagi semalam.
alisson melakukan dua kesilapan membolehkan Wolves menjaringkan gol pada aksi awal pagi semalam. – AFP
Penjaga gol antarabangsa Brazil itu dianggap menjadi punca The Reds melepaskan dua gol apabila melakukan kesilapan sehingga membolehkan Goncalo Guedes dan Hwang Hee-chan menjaringkan gol.
Sementara itu, dua gol Liverpool dijaringkan penyerang, Darwin Nunez dan pemain sayap, Mohamed Salah bagi memastikan kedua-dua pasukan membuat perhitungan semula di Stadium Molineux nanti.
“Gol-gol itu tidak sepatutnya berlaku kerana kami tahu Ali (Alisson) boleh menyelamatkan percubaan-percubaan tersebut. Semua orang tahu Wolves sangat berbahaya ketika melakukan serangan balas pantas.
“Mereka memiliki pemain yang sangat pantas seperti Adama (Traore) dan membuatkan kami berada dalam keadaan cukup tertekan. Mereka mendapat semangat kerana terlebih dahulu menjaringkan gol,” kata Klopp.
Jelas bekas jurulatih Borussia Dortmund itu lagi, beliau faham kekecewaan yang ditunjukkan pasukan pelawat selepas pengadil perlawanan membatalkan gol ketiga mereka yang dijaringkan Toti Gomes.
“Saya tidak pasti mengenai gol ketiga mereka kerana pada awalnya kami lihat ia seakan-akan ofsaid. Oleh itu, saya faham kenapa mereka sangat marah dengan keputusan tersebut, namun ia sudah pun dirujuk VAR (Video Bantuan Pengadil),” ujarnya. – AGENSI
Source: kosmo.com.my