LIVERPOOL: Nedum Onuoha dan rakan setugas di ESPN ketawa melihat pengendali Liverpool, Jurgen Klopp bertanya sama ada bekas pertahanan Man City, Sunderland dan QPR itu pernah bermain bola sepak.
Onuoha menemuramah Klopp selepas pasukannya seri 2-2 menentang Wolves, dan Klopp mempersoalkan kredibiliti pengulas sukan itu.
Pengendali Liverpool, Jurgen Klopp ditemuramah selepas pasukannya seri 2-2 menentang Wolves pada pusingan ketiga Piala FA. – Foto AGENSI
“Saya tidak pasti jika anda pernah bermain bola sepak, tetapi perkara sebegini sering terjadi,” kata Klopp kepada Onuoha.
Sudah tentu Onuoha mempunyai pengalaman bermain bola sepak, malah lebih luas berbanding karier Klopp sebagai pemain.
Dia membuat 426 penampilan berbanding 347 dilakukan Klopp, dengan 232 daripadanya di Liga Perdana Inggeris.
Klopp, yang meledak 56 gol sepanjang kariernya, tidak pernah beraksi di liga tertinggi di Jerman.
Bagaimanapun Onuoha tidak mengambil hati di atas insiden berkenaan dan menganggapnya sebagai perkara melucukan.
“Jika dia dalam keadaan baik saya pasti akan mengatakan sesuatu kepadanya. Tetapi dia nampak kecewa, jadi saya tidak mahu ia berlanjutan,” kata Onuoha.
Liverpool akan bertemu Wolves dalam aksi timbal balik pusingan ketiga Piala FA, dengan situasi mereka dalam Liga Perdana Inggeris juga cukup sukar musim ini.
The Reds kini di tangga keenam dengan 28 mata dan tujuh mata di belakang Manchester United yang menghuni tangga keempat. – AGENSI
source: bharian.com.my