LONDON – Kekalahan 0-3 kepada Brighton pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) kelmarin semakin mengheret Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp menuju ke ‘jalan mati’ dan perlu tampil lebih kreatif merencanakan strategi berdasarkan skuad yang dimilikinya.
MOHAMED SALAH terus gagal membantu Liverpool selepas mereka mencatat kekalahan kedua berturut-turut pada aksi EPL apabila tewas memalukan 0-3 kepada Brighton kelmarin. – AFP
Pengurus dari Jerman itu sudah memberi bayangan tiada lagi tambahan pemain baharu akan dibawa masuk dan kini perlu memastikan setiap idea yang bakal diterapkan ke dalam pasukan mampu diterima dengan baik oleh pemain.
“Saya ada idea untuk mengubah formasi yang dirasakan mampu bantu pasukan, tetapi ia sekadar menjadi idea kerana kami gagal melaksanakannya dengan baik.
“Pemain yang sama mampu bermain bola sepak dengan baik, tetapi jika kami tidak melakukannya dengan baik, inilah yang berlaku. Apabila gagal dalam perebutan dan terlalu mudah hilang bola, maka mana-mana formasi pun tidak mampu beri jalan penyelesaian.
“Kami sebenarnya mampu lakukan lebih baik. Kami perlu jadi lebih kreatif dengan pilihan yang kami ada sekarang,” katanya.
Pada aksi di Stadium American Express Community kelmarin, Solly March meledak dua gol buat Brighton diikuti gol ketiga daripada Danny Welbeck.
Mengulas lanjut, Klopp mengakui beliau cukup peka dengan situasi yang sedang dihadapi The Reds ketika ini yang berdepan risiko gagal menamatkan saingan di kelompok empat terbaik.
“Bagaimana pula dengan perlawanan selepas ini? Saya tidak boleh hanya berdiri di sini dan mengatakan ia tidak akan berlaku lagi. Sudah pasti kami cukup ambil berat dengan keadaan sekarang,” jelasnya.– AGENSI
source: kosmo.com.my