LONDON – Wira Chelsea, Kai Havertz akui puas apabila jaringan tunggalnya berjaya mengeluarkan pasukan daripada situasi sukar ketika menewaskan Crystal Palace 1-0 di Stamford Bridge, kelmarin.
Kemenangan itu seakan hadir tepat pada masanya untuk memacu kebangkitan The Blues yang dihimpit kekecewaan selepas dipalit kekalahan dalam tiga perlawanan terakhir.
“Sejak beberapa minggu lalu, kami berdepan kesukaran. Untuk semua orang dalam pasukan ini, ia menjadi keadaan yang sukar untuk kami hadapi.
“Banyak yang berubah pada tahun ini dan kami juga berdepan masalah kecederaan. Hari ini (kelmarin) kami memiliki lima pemain muda dalam kesebelasan utama, namun mereka berjaya melaksanakan tugas dengan baik,” katanya.
Ini adalah kemenangan kedua The Blues dalam enam perlawanan terakhir di semua pertandingan selepas kali terakhir menang pada 28 Disember lalu menewaskan Bournemouth 2-0.
Selepas itu, anak buah Graham Potter hanya memulakan tahun baharu dengan keputusan seri 1-1 dengan Nottingham Forest sebelum tewas 0-1 dan 0-4 kepada Manchester City (saingan liga dan Piala Liga Inggeris) diikuti tunduk 1-2 kepada Fulham, awal pagi Jumaat lalu.
“Secara keseluruhan, kami bermain baik. Adalah sesuatu yang bagus apabila mampu dapatkan tiga mata menentang pasukan seperti Palace,” kata Potter. – AGENSI
source: kosmo.com.my