Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp (kiri) ketika perlawanan menentang Chelsea di Liverpool, Britain. – EPA
LIVERPOOL: Jurgen Klopp berkata keputusan seri 0-0 berdepan Chelsea malam tadi ialah langkah ke arah yang betul buat Liverpool walaupun satu mata itu tidak membantu mereka mengejar empat kedudukan teratas.
Kedua-dua pasukan ketinggalan sembilan mata daripada tempat ke Liga Juara-Juara selepas persembahan buruk yang ditunjukkan musim ini.
Gol Chelsea yang dijaringkan Kai Havertz dibatalkan kerana ofsaid dan ada bayangan kehebatan dijanjikan pemain baharu dibeli, Mykhailo Mudryk yang masuk dari bangku simpanan.
Namun Blues kekal di tangga ke-10 tanpa kemenangan di tempat lawan dalam liga sejak Oktober.
Liverpool naik ke tangga kelapan, di atas Brentford menerusi perbezaan gol.
Namun Klopp gembira melihat kali pertama pasukannya tidak bolos dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sejak Oktober selepas tewas 3-0 di Brighton hujung minggu lalu yang digambarkan sebagai persembahan terburuk sepanjang kariernya.
“Bagi saya ia jelas, dalam situasi ini anda perlu bersedia untuk langkah kecil dan hari ini ia adalah langkah kecil,” kata Klopp selepas melalui perlawanan ke-1,000 bersama Mainz, Dortmund dan Liverpool.
“Itulah yang berlaku. Saya menjangkakan peningkatan dan saya rasa selepas perlawanan terakhir EPL ia satu peningkatan, ia pasti dan ia penting.
“Saya tahu kami perlu lakukan perkara yang lebih bagus dan lebih lama, dalam dunia yang ideal selama 95 atau 100 minit dan kemudian kami akan berada di sana. Kami akan melalui arah yang betul, saya yakin.” – AFP
Source: bharian.com.my