LONDON: Jurgen Klopp berkata, ‘masa dan lawan’ memberi kesukaran kepadanya untuk membina semula empayar di Anfield, namun memberi jaminan Liverpool akan kembali menjulang trofi.
Janji itu dilaungkan sehari sebelum Reds turun menentang Brighton, pasukan yang mengalahkan mereka 3-0 dalam saingan Liga Perdana, 14 Januari lalu pada pusingan keempat Piala FA hari ini.
Liverpool menjuarai Piala Liga dan Piala FA musim lalu, selain hampir merangkul kejuaraan Liga Perdana pada hari terakhir serta tewas dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara kepada Real Madrid.
Begitupun mereka menampilkan perbezaan ketara musim ini, malah mungkin menutup kempen tanpa trofi selepas tersingkir dari Piala Liga dan berada di pertengahan liga.
CODY Gakpo (tengah) masih dalam proses menyesuaikan diri di Anfield.
Mereka juga akan bertemu juara 14 kali, Real Madrid di pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara.
Klopp mengakui kesukaran yang dihadapi Liverpool, termasuk untuk membina semula jentera serangan selepas penghijrahan Sadio Mane ke Bayern Munich.
Selain ditimpa kecederaan, Darwin Nunez juga mengambil masa untuk membentuk gandingan dengan Mohamed Salah selain penyerang Belanda, Cody Gakpo berdepan situasi sama.
Klopp berkata, serangan mereka sebelum ini iaitu Mane, Salah dan Roberto Firmino adalah ‘mesin yang dilatih dengan baik’, namun masa sudah berlalu dan dia perlu membina semula barisan hadapannya.
DARWIN Nunez (kanan) dan Mohamed Salah menjalani latihan menjelang pertemuan menentang Brighton.
“Sudah tentu ia tidak bagus. Tetapi itulah sebabnya saya katakan kami tidak boleh mengharapkan untuk kembali ke tahap terbaik, menang 5-0 dan pergi ke perlawanan seterusnya.
“Kami perlu bekerja keras. Tiada siapa yang mahu mendengarnya, tetapi kami perlu melakukannya.
“Dalam dua atau tiga minggu, beberapa pilihan lain kembali lagi. Kami akan mempunyai lebih banyak pilihan dan boleh mencampurkannya,” kata Klopp. – AGENSI
Source: utusan.com.my