LONDON: Pemain baharu Chelsea, Joao Felix yang menyertai kelab London itu secara pinjaman, berkata dia akan membuatkan penyokong mereka gembira bermula sekarang sehingga tamat musim ini.
Felix menyertai The Blues dari Atletico Madrid, yang enggan memasukkan pilihan pembelian terus dalam perjanjian jangka pendek mereka dan memberikan lanjutan kontrak setahun kepada pemainnya itu.
Pemain Portugal itu dijangka akan kembali ke Atletico musim depan, tetapi pengendali Chelsea, Graham Potter sekurang-kurangnya mempunyai pilihan di bahagian serangan untuk menyelamatkan kempen hambar mereka kali ini.
“Saya amat gembira berada di Chelsea. Ia salah sebuah pasukan terhebat di dunia dan saya harap dapat membantu mereka mencapai objektif.
“Saya amat gembira dan teruja untuk bermain di sini dan beraksi di Stamford Bridge,” kata Felix.
Felix pernah bertandang ke Stamford Bridge pada tahun 2021, tetapi tanpa kehadiran penonton akibat pandemik COVID-19, di mana Atletico tewas kepada Chelsea dalam aksi 16 terakhir Liga Juara-Juara Eropah.
Ketika ditanya berkenaan bintang-bintang Chelsea sebelum ini yang diingatinya, Felix berkata: “Pemain Chelsea yang saya ingat, pemain-pemain Portugal: Deco, Ricardo Calvalho, Paulo Ferreira, (Raul) Meireles.
“Tetapi saya juga meminati pemain-pemain lain seperti (Eden) Hazard, Frank Lampard, (Didier) Drogba.”
Felix, yang sudah bersama Atletico selama tiga setengah tahun selepas perpindahan dari Benfica, tidak akan ditemani rakan senegara dalam skuad kendalian Potter kali ini. – AGENSI
Source: .bharian.com.my