HAVERTZ meraikan gol yang dihasilkannya. -FOTO Reuters
London: Chelsea meredakan tekanan ke atas pengurus Graham Potter dengan kemenangan 1-0 ke atas Crystal Palace ketika Newcastle menjaringkan gol lewat untuk menewaskan Fulham 1-0 dan naik ke tangga ketiga Liga Perdana awal pagi tadi.
Kai Havertz gol tunggal di Stamford Bridge menerusi tandukan pada separuh masa kedua memberi penghormatan kepada bekas pemain dan pengurus Gianluca Vialli.
Legenda Itali itu meninggal dunia awal bulan ini pada usia 58 tahun kerana kanser.
Beberapa bekas rakan sepasukan Vialli di Chelsea menyertai pemain dari kedua-dua belah pihak di atas padang untuk berdiam diri seminit, manakala penyokong tuan rumah membentangkan sepanduk dengan gambar Vialli berlatarbelakangkan bendera Itali.
Aksi di padang turut disertai dengan pengumuman rasmi pada babak pertama yang Chelsea sudah melengkapkan pembelian Mykhailo Mudryk dengan yuran yang boleh meningkat hingga €100 juta (RM469.52 juta).
Bagaimanapun tiada apa yang mampu ditunjukkan terhadap pelaburan besar itu setakat ini namun skuad Potter yang dibelenggu kecederaan berjaya mencatat kemenangan kedua dalam 10 aksi liga setakat ini.
Havertz melompat tinggi menyambut hantaran silang Hakim Ziyech daripada sepakan sudut pada minit ke-64 untuk gol tunggal perlawanan.
Chelsea masih memerlukan kehebatan penjaga gol, Kepa Arrizabalaga yang menyelamatkan cubaan voli Cheick Doucoure.
“Penyokong amat hebat. Mereka tahu apa yang kami sedang lalui, mereka kenal pemain muda di padang dan mereka kekal bersama pemain dan membawa kami melepasinya,” kata Potter.
Walaupun mencipta kemenangan, Chelsea kekal 10 mata di belakang empat pasukan teratas selepas Newcastle meneruskan impian mereka hasil kemenangan di St. James’ Park.
Source: hmetro.com.my